Tuesday, November 27, 2012

Tajuk cerpen 1511 : Bila Dendam Belum Terbalas

Jam di dinding menunjukkan jam 1.30 petang. Ain dengan lemah menghayun kaki menuju ke arah bilik air untuk mengambil wuduk dan menunaikan solat Zohor. Dalam hatinya tersimpan seribu harapan  mudah-mudahan hajatnya untuk menyambung pengajian ke menara gading tercapai. Selepas membuat rayuan kedua, Ain masih belum menerima jawapan dari mana-mana institusi namun dia tetap redho dan tidak pernah berputus asa. Semasa menuju ke bilik air, Ain terdengar ada kenderaan yang berhenti di hadapan rumah tetapi Ain meneruskan langkahnya dan tidak menghiraukan kenderaan tersebut.

“Ya Allah,.. permudahkanlah segala urusanku dan kau berikanlah peluang untuk aku mengejar cita-citaku, sesungguhnya aku hanyalah hambaMu yang lemah dan sering meminta pertolongan dariMu..” Ain bermohon seikhlas hati dalam doanya mudah-mudahan hajatnya untuk menyambung pengajian tercapai. Gadis yang baru sahaja tamat SPM ini pernah memohon untuk melanjutkan pengajian di beberapa buah institusi pengajian tinggi namun usaha pertamanya itu gagal dan setelah membuat rayuan kedua dia sangat menaruh harapan agar peluang untuknya mengejar cita-cita terbuka satu hari nanti.

“Ain... mari sini cepat nak... tengok surat ni.” Teriak ibu Ain dengar nada yang sangat ceria. Ain berasa hairan dan sesudah dia melipat dan menyimpan kain sembahyangnya Ain keluar menuju ke ruang tamu.
“Ye mak, kenapa ni nampak macam mak happy sangat..” Tanya Ain.
“Ni,..cuba Ain tengok..surat dari kolej ni kan?” Jawab ibunya.
“Haaa! Yeke mak? Mana, bagi Ain tengok..” Ain dengan penuh debaran membuka surat itu. Hatinya sungguh gementar, apakah kali ini dia berjaya atau dia akan kecewa untuk kedua kalinya. Setelah meneliti surat tersebut berkali-kali, Ain tersenyum riang. Jelas riak wajahnya tampak gembira dan Ain terus memeluk ibunya yang ada di situ.
“Mak...Ain dapat mak..Ain dapat....” Dengar penuh kesyukuran gadis kecil itu bersuara.
“Syukur alhamdulillah... Mak tahu anak mak boleh, tahniah ye nak.” Ibu Ain mengalirkan mutiara jernih yang membasahi pipi. Rasa gembira dengan penuh kesyukuran tidak dapat ditahan lagi. Ain sangat gembira kerana rayuan keduanya telah diterima dan dia bakal menyambung pengajiannya pada awal bulan hadapan.

BEBERAPA MINGGU KEMUDIAN...
Ain menoleh ke arah Al-Quran kecil yang tersusun baik di atas almari biliknya. Tanpa berfikir banyak Ain mencapai Al-Quran tersebut lantas dipeluknya. Dia berhajat untuk membawa Al-Quran tersebut bersama sebagai bekal buat penemannya sepanjang menjalani pengajian nanti. Esok adalah hari yang bahagia baginya kerana esok adalah hari pertama Ain akan mendaftar di kolej tersebut dan disitulah bermula permulaan untuk mencorak masa depan hidupnya.

“Ain, mak nak pesan satu perkara saja dengan anak mak ni. Mak harap Ain dengar betul-betul dan ikut apa yang mak pesan ni ye nak.” Dengan lembut ibunya mengusap rambut Ain.
“Ye mak,.. cakaplah, insyaAllah Ain akan dengar dan ikut pesan mak.” Balas Ain.
“Mak nak pesan satu je, tak kira la dimana sekalipun Ain berada,..jangan pernah tinggal solat yenak. Itu je pesan mak, selagi Ain jaga solat insyaAllah Ain akan sentiasa di lindungi dan mendapat keberkatan darinya.” Pesan ibu Ain. Ain mengangguk faham dan sungguhpun dia berat hati untuk meninggalkan ibunya namun dia percaya semuanya telah ditentukan oleh Allah.



HARI PENDAFTARAN...
Ain dengan penuh debaran menunggu giliran untuk mendaftar. Ini adalah kali pertama baginya menjejakkan kaki jauh dari keluarga seorang diri. Setelah selesai sesi pendaftaran dan juga taklimat ringkas, Ain dan juga pelajar-pelajar baru (freshie) yang lain diberi kunci bilik asrama. Ain meneliti tag bilik yang ada digenggamnya sambil tercari-cari bilik asramanya. Akhirnya Ain tersenyum lega apabila bilik yang dicari-carinya telah berada di depan mata. Hmm...ni pun dia, bilik 1511... Helah kecil gadis itu. Tanpa berlengah Ain membuka kunci pintu bilik tersebut namun usahanya gagal apabila kunci tersebut terlekat dilubang kunci. Ain telah mencuba lagi untuk beberapa kali tetapi hasilnya tetap sama. Akhirnya Ain dengan lafaz bismillah cuba membuka pintu tersebut sekali lagi dan mujurlah kali ini usahanya berjaya... Hmm...baru aku ingat, mak pernah pesan tanpa lafaz bismillah maka terputuslah keberkatan dalam membuat sesuatu perkara itu. Ain tersenyum kecil.

Ain membiarkan pintu biliknya itu terbuka kerana dia ingin mengemas dan menyapu habuk yang ada dalam bilik tersebut tetapi sebaik sahaja Ain membelakangkan pintu bilik itu, dengan tidak semena-mena pintu bilik itu tertutup dengan sendirinya. Ain berdebar seketika dan mulutnya terkumat-kamit beristirghfar. Ain cuba positifkan dirinya dan berfikir pintu itu tertutup kerana ditiup angin. Ain menyambung kerja-kerja mengemas katil dan biliknya seperti biasa dan tiba-tiba pintu biliknya dibuka pantas. Ain terduduk di atas katil kerana terkejut dan matanya tertumpu tepat ke arah pintu. Ain mula mengusap dadanya dan menarik nafas lega apabila melihat seorang perempuan berdiri di hadapan pintu bilik tersebut.
“Kau ni siapa? Kenapa muka kau pucat macam nampak hantu je.”tanya perempuan tersebut kepada Ain.
Ain dengan perlahan menjawab...”Emm..saya Nur Ain. Freshie..saya baru masuk hari ni..”
“Ooo..terkejut saya... ingatkan siapa tadi. So awak roomate baru saya la ye? Nama saya Natasya, panggil Sya saja.” Balas perempuan itu.
“Ooo..huhu panggil saya Ain je, saya ambil course IT.” Jawab Ain.
“Junior saya laaa ni ye..hmm tapi xde la junior sangat cuma beza satu sem je, huhu..”

BEBERAPA HARI KEMUDIAN...
Ain memulakan pengajian seperti pelajar-pelajar lain dan pada awalnya semua berjalan lancar seperti biasa namun setiap kali dia tinggal bersendirian di dalam bilik asramanya, dia merasakan sesuatu. Tidur dan mimpinya turun diganggu bagai ada sesuatu yang cuba mendampinginya. Ain seringkali terjaga di tengah malam, lenanya tersentak bagai ada yang cuba mengejutnya dan malam ini perkara yang sama terjadi lagi. Ain menoleh jam di sisi katilnya. Jam tepat menunjukkan pukul 3.30pagi. Seluruh asrama itu senyap dan sunyi tanpa suara kerana semuanya sedang asyik dibuai mimpi. Ain berasa gelisah dan untuk menenangkan dirinya Ain keluar dari biliknya dan menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Gerak gerinya bagai diperhati dan langkahnya bagai diekori oleh sesuatu yang Ain sendiri tidak pasti.

Setibanya Ain di bilik air, bulu romanya tegak berdiri dan rasa dingin yang teramat sangat menyelubungi dirinya. Ain berasa resah dan tidak sedap hati, dia menuju ke arah singki dan mengambil wuduk. Sebaik sahaja selesai Ain mengangkat kepalanya, Ain bagai terpaku kerana dia terlihat kelibat satu lembaga yang terpantul dari cermin yang ada di depannya. Ain yang dalam ketakutan tidak berani untuk menoleh namun kakinya bagai terpaku dan dia tidak mampu melangkah. Ain memejam rapat matanya dan bermohon dalam hati moga-moga Allah membantu dan melindunginya. Selepas menarik nafas dengan perlahan-lahan Ain membuka matanya dan dia melihat kelibat itu tiada. Ain memberanikan diri untuk menoleh dan setelah memastikan tiada apa-apa di situ, Ain bergegas pulang ke biliknya dalam ketakutan. Ain mencapai Al-Quran kecil yang dibawanya dan Surah YaSinn di baca perlahan gadis itu bagi menenangkan dirinya. Ain bagai tidak percaya dengan apa yang baru sahaja di lihatnya sebentar tadi. Kelibat yang seakan-akan roh berupa wanita dan berambut panjang itu kelihatan bagai sedang menangis sewaktu Ain melihatnya dari pantulan cermin tadi. Ain percaya akan kewujudan jin dan juga makhluk halus namun dia tertanya-tanya mengapa lembaga itu muncul dihadapannya. Kenapa dan mengapa? Akhirnya Ain terlena sambil memeluk Al-Quran kecil di dadanya.

Setelah berlarutan sehingga beberapa minggu, Ain masih sering dihantui dan di ganggu makhluk halus itu namun begitu rakan sebiliknya Natasya kelihatan tenang bagai langsung tiada menerima sebarang gangguan. Ain hairan dan dia cuba menceritakan kepada rakan-rakan rapatnya. Ain mendapat tahu bahawa biliknya itu pernah didiami oleh seorang pelajar pintar yang bernama Suziana. Gadis yang lebih dikenali sebagai Suzi itu dipercayai hilang secara tiba-tiba dan tidak ada siapa pun yang tahu kemanakah hilangnya gadis itu. Sungguhpun telah dilaporkan kepada pihak polis namun kehilangan Suzi masih lagi menjadi tanda tanya. Suzi merupakan pelajar pintar yang menjadi teman sebilik dan juga kawan rapat kepada Natasya sebelum ini namun tidak pernah sekalipun Tasya membuka cerita mengenai Suzi pada Ain. Kebingungan semakin membelenggu Ain dan dia buntu, bagaimanakah harus dia selesaikan masalah yang menghantuinya ini dan adakah kelibat yang seringkali dijumpainya itu roh Suzi. Ain tersentak! Suzi hilang atau dibunuh?! Terlintas dibenak fikirannya. Hmm,..aku pasti Suzi tidak hilang mahupun diculik tetapi aku yakin bahawa Suzi telah dibunuh...tapi,..siapa punya angkara?! Fikirnya sejenak.

Ain mula menyiasat secara sendirian dan mula merisik-risik maklumat daripada kawan-kawan yang pernah menjadi teman rapat Suzi sehinggalah membawa Ain kepada teman lelaki Suzi iaitu Firdaus. Ain mula memerhatikan gerak geri Firdaus dan akhirnya Ain memberanikan diri untuk menyapa Firdaus. Niatnya hanyalah satu, dia ingin membongkar apa yang telah terjadi sebenarnya ke atas Suzi. Semasa Ain berbual dan menanyakan tentang Suzi pada Firdaus, Ain merasakan bagai dirinya sedang diperhati dan dengan tidak sengaja Ain melemparkan pandangan ke arah penjuru blok, Ain ternampak seorang tukang kebun yang wajahnya sungguh kusut masai dan garang. Ain berasa tidak selesa dan Ain menamatkan perbualannya dengan Firdaus secepat mungkin. Apabila Ain menoleh sekali lagi ke arah sama, tukang kebun tersebut telah hilang dari pandangannya.

Ain sedikit resah dan bingung, dia pasti bahawa kehilangan Suzi bukanlah kes hilang biasa tetapi Suzi telah dibunuh. Menurut Firdaus, Suzi telah dilaporkan hilang semasa akhir cuti semester tahun lepas dan Suzi adalah di antara pelajar yang tidak pulang ke rumah semas cuti sem tersebut selain Natasya dan juga beberapa orang pelajar yang lain. Firdaus juga percaya bahawa teman wanitanya itu tidak hilang seperti yang dicanang-canangkan, kerana dia cukup kenal teman wanitanya itu. Sungguhpun Suzi lebih gemar bersosial namun dia masih tahu batas-batasnya. Firdaus juga mempunyai niat yang sama seperti Ain dan dia ingin mengetahui apa yang telah terjadi kepada teman wanitanya itu.

Siapa agaknya dalang dalam hal ini? Kenapa Suzi mesti dibunuh, dan siapakah pula tukang kebun yang memerhatikan gerak geri aku tadi? Berserabut benak fikiran Ain dengan pelbagai persoalan namun dia percaya semua ini pasti akan ada jalan penyelesaiannya...



DI SUATU MALAM YANG SUNYI...
Pada malam ini, Ain yang ditinggalkan keseorangan oleh teman biliknya. Natasya ada mengajak Ain untuk keluar berhibur bersama dan menghabiskan hujung minggu di pusat-pusat hiburan tetapi sifat melalaikan yang boleh membawa kepada kemungkaran sang Penciptanya membuatkan Ain dengan tegas menolak ajakan itu. Natasya terus berlalu dengan sedikit perasaan marah dengan sifat alim yang ditunjukkan oleh Ain itu. Tidak terlintas di fikiran Ain untuk menunjuk-nunjuk dihadapan rakan sebiliknya itu, dia hanya menegaskan prinsip dan pendiriannya.

Tanpa mengambil kisah sikap rakannya itu, Ain meneruskan niatnya untuk mengulangkaji pelajaran kerana peperiksaan akhir semester telah hampir tiba. Sambil khusyuk menelaah tiba-tiba fikiran Ain tersentak... Emm... tak mungkin dia kot?! Raut wajah Ain berkerut-kerut dan fikirannya melayang sejenak. Ain cuba melupakan apa yang sedang difikirkannya itu dan cuba untuk kembali fokus menelaah bukunya. Dalam senyap sunyi malam, Ain bagai terdengar ada suara kecil yang menyahut memanggil namanya....

“Ain...Ainn...Ainnn... tolonggg akuu Ainnnn........” sayu kedengaran suara yang aneh itu...
Wajah Ain bertukar pucat..kedua tangannya menggenggam kemas bingkai kerusinya dan matanya liar memandang ke setiap penjuru biliknya.
“Siapa kau? Kenapa kau mesti ganggu aku? Apa jenis pertolongan yang kau harapkan dari aku?” Balas Ain dalam gigil ketakutan...
“Hati-hati dengannya Ain...jangan jadi mangsa seterusnya seperti aku... hanya kau yang boleh membantu aku...” sekali lagi sayu kedengaran suara yang aneh itu...
“Hati-hati dengan siapa? Jadi mangsa siapa? Apa yang kau cuba sampaikan sebenarnya ni... Kenapa mesti kau ganggu aku!” Ain dengar nada sedikit marah kerana telah lama tertekan dihantui masalah. Setelah beberapa minit bunyi suara aneh itu terus ghaib. Ain yang sangat tertekan memilih untuk menangguhkan ulangkajinya itu lalu menunaikan solat hajat sambil memohon petunjuk daripada Allah.


Hari-hari yang Ain lalu kini semakin hari semakin perit dan jiwanya bagai tidak tertanggung. Ain ada bercerita masalahnya kepada Firdaus dan Firdaus ternyata mempercayai segala kata-kata Ain itu kerana rupa-rupanya Firdaus turut mengalami gangguan yang sama. Mereka berdua telah mengambil keputusan untuk pergi berjumpa dengan seorang guru yang arif dalam agama untuk bertanyakan masalah yang dihadapi oleh mereka berdua. Bagi rakan-rakan Ain yang lain, mereka langsung tidak percaya dengan apa yang diceritakan oleh Ain kerana bagi mereka Ain saja mereka-reka cerita mengenai gangguan-gangguan itu. Hanya Firdaus seorang sahaja yang sudi meneman dan juga membantu Ain untuk menyelesaikan masalah ini.

Firdaus membawa Ain berjumpa dengan Ustaz Fauzi dan mereka berdua telah mengambil peluang itu untuk berceritakan masalah yang dihadapi mereka. Menurut Ustaz Fauzi, sesungguhnya jin, syaitan, iblis dan makhluk halus itu memang wujud dan gangguan yang hadir dari mereka juga adalah dengan izin Allah. Kehadiran sesetengah gangguan atau makhluk halus itu kadang-kadang kerana rohnya tidak tenteram atau jasadnya tidak disempurnakan dengan baik.

“Emm..maaf ustaz bertanya, hmm kalu boleh ustaz tahu apakah bentuk gangguan yang datang pada Ain?” Soal Ustaz Fauzi.
“Dia pernah muncul dalam bentuk kelibat perempuan ustaz. Rambutnya panjang,..dia seakan-akan sedang menangis.” Jawab Ain.
“Dia datang dalam bentuk suara jugak ustaz.” Firdaus mencelah.
“Suara macam mana tu?” Lagi soal Ustaz Fauzi.
“Dia merayu meminta tolong dan memberi saya amaran agar berhati-hati ustaz.” Jelas Ain.
“Hmm...kalau begitu, pada pandangan ustaz roh itu datang bukan dengan niat untuk mengganggu. Tetapi dia ingin meminta pertolongan daripada kamu berdua.” Terang Ustaz Fauzi kepada Ain dan Firdaus.
“Meminta pertolongan dari kami?” Serentak Ain dan Firdaus bersuara.
“Ye, pertolongan. Mungkin roh itu tidak tenteram dan dibunuh dengan kejam dan jasadnya tidak disemadikan dengan sempurna. Dan mungkin juga orang yang membunuhnya itu adalah orang yang mengenalinya dengan rapat dan juga mengenali kamu berdua.” Panjang lebar penerangan yang diberikan oleh Ustaz Fauzi kali ini.
“Pembunuh tu mengenali kami ustaz? Tapi siapa? Kenapa dia mesti bunuh Suzi?” Keadaan menjadi sedikit tegang apabila Firdaus tidak dapat menahan kesedihan apabila terkenangkan kehilangan teman wanitanya.
“Sabar Firdaus...Sesungghnya setiap yang berlaku itu pasti ada sebabnya.” Ustaz Fauzi cuba menenangkan Firdaus.

Akhirnya Ain dan Firdaus pulang dengan satu kepastian. Memang sah tekaan mereka roh yang menghantui mereka itu adalah roh Suzi yang tidak tenteram cuma yang menjadi persoalan sekarang ini adalah siapakah pembunuh yang turut mengenali mereka itu.


BEBERAPA HARI KEMUDIAN...
Ain yang keletihan gara-gara lambakan tugasan dan juga beban masalah pulang ke biliknya dengan lemah tidak bersemangat. Di fikirannya hanya ada lambakan tugasan yang perlu disiapkan disamping membuat sedikit ulangkaji untuk persediaan peperiksaan akhir semester. Masih banyak lagi yang perlu dibuatnya. Dia merebahkan badannya ke atas tilam katilnya, sungguhpun tilam itu tidak seempuk tilam dirumahnya tapi itu sudah lebih daripada cukup untuk merehatkan sejenak keletihan dan kelesuannya.

Ain membuka kecil matanya dan melihat jam di tangan. “Oh.. masih awal lagi, baru pukul 6.30 petang. Nak rehat la sekejap, penat sangat rasanya ni...hmm” helah gadis kecil molek itu. Ain melelapkan matanya seketika sambil merehatkan badannya yang keletihan. Sebaik sahaja Ain terjaga dari tidurnya, dia melihat waktu berlalu begitu pantas. Jam menunjukkan pukul 8.40 malam dan dia telah terlepas untuk menunaikan solat Maghribnya. Ya Allah, lalainya hambaMu ini... Ain meraut wajahnya. Ain mencapai kain tualanya lalu membuka pintu biliknya.

Dari jauh dia melihat Natasya berjalan sendirian. Ain cuba memanggil tapi langsung tidak dihiraukan. Kerana risaukan rakan sebiliknya itu Ain mengunci pintu bilik dan mengikut Natasya dari belakang. Natasya berjalan senyap bersendirian, meskipun berkali-kali dipanggil oleh Ain namun dia langsung tidak menyahut. Ain terus mengekori Natasya sehinggalah ke belakang blok asrama. Kain tuala yang diletak di sisi bahu kirinya tiba-tiba jatuh. Ain tunduk dan mengambil semula tuala itu dan apabila dia melihat ke hadapan, Natasya terus hilang dari pandangannya. Di hadapannya hanya terdapat sebuah pokok besar dan sekeliling kawasan itu sangat gelap dan sunyi. Bulu roma Ain tegak berdiri kerana dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.


Tiba-tiba Ain disapa oleh satu suara garau yang mengejutkannya.
“Kau buat apa dekat sini sorang-sorang dengan keadaan yang gelap dan sunyi macam ni?” Sergah suara itu. Ain menoleh... Dia melihat tukang kebun kolej dengan rupa paras yang sungguh misteri dan menakutkan.
“Pergi masuk bilik kau. Jangan duduk dekat sini sorang-sorang. Bahaya tidak kenal masa, bila-bila bahaya boleh datang. Pergi sekarang.” Jerkah suara tukang kebun itu.
Ain yang terkedu kerana terkejut terus memanjangkan langkahnya tanpa menoleh ke belakang dan berlalu pulang ke asramanya semua dengan penuh tanda tanya dan ketakutan.

DUA MINGGU KEMUDIAN...
Ikan yang digoreng Ain mula hangit dikuali. Fikirannya bercelaru memikirkan masalah yang terus mengganggu dan menghantui dirinya. Dia sungguh letih dan tidak kuat lagi untuk menghadapi semua ini. Sepanjang berada di kampus dia langsung tidak dapat memberikan fokus kerana gangguan-gangguan ini dan dia sentiasa memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan semua tanda tanya dan persoalan ini.
“Ain.... Ya Ailah Ain....” Jerit ibunya.
“Ain!” Ibunya menepuk Ain dari belakang lantas Ain tersentak dari lamunannya.
“Ye mak...” Jawab Ain.
“Tengok ikan tu! Dah rentung digoreng kau nak. Ya Allah Ain, kau mengelamun kemana dah ni? Soal ibunya. Ain pantas mematikan api dapur gasnya dan mengangkat ikan yang telah hangit digorengnya ke dalam pinggan.
“Maaf mak. Ain tak sengaja tadi.” Jawab Ain dengan rasa bersalah.
“Dah-dah, pergi duduk luar je la. Biar mak je siapkan semua ni.” Ujar ibunya. Ain yang patuh dengan arahan ibunya itu menghayun lemah kakinya menuju ke ruang tamu.

Fikiran Ain masih bercelaru dan dia percaya selagi dia tidak memberanikan diri untuk menyelesaikan masalah ini, selagi itulah gangguan-gangguan itu terus menghantui dirinya. Ain pantas mencapai telefon bimbitnya. Dalam fikirannya hanya ada Firdaus sahaja yang mampu membantunya dalam hal ini. Ain menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada Firdaus dan dia mengajak Firdaus untuk kembali ke kampus. Niatnya hanyalah satu, dia ingin menyiasat apakah kaitan kehilangan Suzi dengan misteri pokok besar yang ada di sebalik blok asramanya itu. Sambil menunggu Firdaus membalas mesejnya, telefon Ain berdering dan nombor yang menelefonnya adalah nombor yang tidak dikenali. Lantas Ain menjawab.
“Hello.” Lembut Ain bersuara.
“Hello, Assalamualaikum Ain. Firdaus ni.” Jawab lelaki itu.
“Oh Firdaus rupanya. Waalaikumusalam, terkejut Ain. Ingatkan siapa la tadi, emm ni nombor siapa Daus?” Ain menarik nafas lega.
“Hehe, ni nombor mak Daus. Telefon Daus da habis kredit, so tak dapat nak balas mesej Ain.” Jelas Firdaus.
“Ooo.. ok takpe. Emm so macam mane Daus? Setuju tak dengan plan Ain? Soal Ain lagi.
“Emm takkan la Ain nak Daus teman pergi siasat dalam kolej siswi? Kan salah tu, kalau kene tangkap macam mana?” Balas Firdaus yang sedikit keresahan.
“Hehe..rileks la Daus. Kita curi-curi masuk, jangan sampai tertangkap lagipun semua orang tengah cuti sem sekarang ni.” Lagi pujuk Ain.
“Ok laa...kalau Ain dah cakap macam tu Daus ikut, sebab Daus pun nak tahu juga kebenaran semua persoalan ni.” Jawab Firdaus.
“Yes...terima kasih Daus, Ain syukur sangat Daus sudi tolong Ain. Ain dah tak sanggup nak hadapi semua ni.” Jelas Ain.
“Ye...takpe, Daus faham. Nanti Daus tolong Ain ye, jangan risau ok. Ok Ain take care ye, salam.”
“Ok waalaikumussalam.” Jawab Ain.

Ain telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Dia tekad kali ini untuk membongkar semua misteri dan tanda tanya yang mengganggu benaknya. Kali ini dia pasti yang dia akan mendapat segala jawapan dan dalang di sebalik kehilangan Suzi pasti tertangkap. Ain menunaikan solat hajat dan memohon perlindungan daripadaNya moga-moga perjalanannya kali ini direstui dan mendapat berkat dari Allah. Dia percaya dengan kemampuan dirinya sambil dibantu Firdaus semua masalah yang dihadapi mereka ini akan berakhir.

SAAT YANG DINANTI TELAH TIBA...
Firdaus meneliti jam ditangannya tepat pukul 12.00 tengah malam. Ain dan Firdaus telah arif dengan rutin guard kolej mereka. Waktu sebegini pastinya guard akan meninggalkan pos pengawal dan membuat rondaan di sekeliling kolej siswi, dan waktu inilah yang dinanti-nantikan oleh mereka kerana mereka boleh melepas pos pengawal dengan mudah. Ain dan Firdaus menyusup masuk dan menyelinap di celah-celah blok bangunan siswi. Pergerakan mereka bagai sedang diperhatikan. Debaran terus dirasai oleh kedua-dua mereka dan bahaya bila-bila masa sahaja boleh menjengah dihadapan mereka. Ain melangkah perlahan dan tiba-tiba Firdaus pantas menyentap tangan Ain.
“Pak guard tu...tunggu dulu..” Bisik Firdaus.
“Ok-ok.,” Ain tersentap, jantungnya bagai terhenti seketika.
Mereka menunggu sehingga pengawal itu berlalu pergi dan mereka perlahan-lahan kembali menyusuri sisi blok dan menuju ke arah belakang blok asrama yang pernah Ain pergi sebelum ini. Mereka percaya semua jawapan pasti ada di pokok misteri di balik blok asrama itu. Setibanya mereka di situ, Ain dan Firdaus mula menggali di kawasan pokok besar itu. Sungguh pun dalam ketakutan, mereka tetap memberanikan diri untuk menyelesaikan misi mereka. Sesekali mereka ditiup dingin angin malam, rasa sejuknya hingga ketulang. Pergerakan mereka juga bagai sedang diperhati dan sesekali mereka menoleh melihat keadaan sekeliling.
“Aku dah agak korang pasti akan ke mari!” Tiba-tiba ada suara perempuan yang menjerkah dari belakang. Ain dan Firdaus bagai tersentap dan mereka sangat kenal dengan suara yang menjerkah mereka itu. Mereka serentak menoleh dan betullah sangkaan mereka, Natasya tegak berdiri di belakang mereka sambil memegang sebilah pisau sambil merenung tajam ke arah mereka.
“Ya Allah Tasya, apa yang awak buat dekat sini.” Ain tersentak melihat Tasya.
“Aku tahu korang akan datang semula ke sini semata-mata untuk menyelesaikan misteri kehilangan Suzi dan malam ini aku akan melakukan perkara sama yang telah aku lakukan dekat Suzi pada kau Ain!” Natasya jelas tampak hilang kewarasannya dan dia jauh berbeza dengan dirinya yang sebelum ini.
“Jadi awak?!” Ain berdiri dengan penuh rasa terkejut. Barulah dia teringat semula kata-kata Ustaz Fauzi yang dalang disebalik semua ini adalah orang yang rapat dengannya.
“Ye... memang aku. Aku yang bunuh Suzi!” Jawab Tasya.
“Tapi kenapa? Bukan ke Suzi kawan baik awak Tasya.” Soal Ain yang kebingungan.
“Memang aku yang bunuh dia sebab aku benci dia. Pada pandangan orang lain dia cukup mulia, pandai, baik dan macam-macam lagi la tapi hakikatnya dia perempuan yang tak berguna. Dia rampas orang yang aku suka. Dia sosial dan tak sebaik yang disangka. Aku benci dia! Aku benci diaaaa! Dia dah tahu aku suka Firdaus dari awal masuk kolej dulu lagi tapi kenapa dia couple dengan orang yang aku suka!” Teriak Natasya bagai orang yang hilang akal.
“Tasya, saya pilih Suzi sebab dia jujur dengan saya! Dia sendiri pernah cerita pada saya yang awak sukakan saya tapi awak tak boleh paksa saya untuk suka awak. Saya berhak untuk buat pilihan saya sendiri! Sedar Tasya! Sedar! Apa yang awak buat semua ni salah!” Jawab Firdaus.
“Tapi aku sayangkan kau Firdaus, aku suka kau dan tak ada mana-mana perempuan yang boleh dekati kau selain aku. Tapi sekarang kau mula rapat dengan Ain dan aku akan pastikan Ain dapat nasib yang sama seperti Suzi. Aku akan pastikan kau mati Ain!” Pantas Natasya menyentap Ain ke dalam pelukannya. Pautannya cukup kemas sambil pisau ditangannya diacukan kearah leher Ain.
“Sabar Tasya.... jangan buat kerja gila! Lepaskan Ain!” Jerkah Firdaus yang dalam kerisauan.

Keadaan menjadi sangat genting dan Tasya tekad untuk menikam Ain. Dia mula mengangkat tinggi tangannya dan Ain bergelut untuk melepaskan diri. Firdaus cuba untuk membantu dalam pergelutan itu dan tiba-tiba satu das tembakan dilepaskan. Tasya yang begelut tadi akhirnya rebah dan pisau yang dipegangnya juga jatuh ke tanah. Tasya cedera di pergelangan tangannya dan Firdaus pantas mengambil peluang itu untuk menyelamatkan Ain ke dalam pangkuannya. Ain jelas ketakutan dan menggigil dalam pelukan Firdaus. Mereka melihat ke arah das tembakan itu dilepaskan dan kelihatan tukang kebun yang misteri dikolej itu berdiri tegak sambil memegang sepucuk pistol. Ain dan Firdaus kebingungan, yang pasti keselamatan Ain menjadi keutamaan Firdaus buat masa ini. Tasya cuba mencapai pisau yang jatuh ke tanah dan satu das lagi tembakan dilepaskan ke udara.
“Berhenti, letakkan senjata kamu! Jangan buat perkara yang bodoh Tasya. Rahsia kamu dah terbongkar!” Jerit tukang kebun itu dari jauh. Tasya terpaku dan disaat yang tidak dijangka itu, tiba-tiba muncul kelibat roh Suzi dihadapan mereka.
“Dendam darah dibalas darah!!!” Sayup kilai roh itu...
“Ampunkan aku... Pergi! Pergi! Jangan ganggu aku!” Teriak Natasya yang ketakutan melihat roh Suzi betul-betul dihadapan matanya. Tiba-tiba roh itu hilang dan kelihatan Natasya bagai sedang dirasuk. Natasya bingkas bangun berlari menaiki anak-anak tangga asrama mereka menuju ke bahagian atas bangunan dan mereka semua yang ada di situ turut berlari dan mengejar dari belakang. Sesekali terdengar teriakkan “Lepaskan aku! Lepaskan aku!” yang dilaung sayup Natasya.
Mereka terus mengekori dari dekat tanpa disangka jasad Natasya yang sedang dirasuk oleh roh Suzi tiba-tiba terjun dari bagunan yang setinggi 5 tingkat. Firdaus pantas menutup mata Ain dan dia tidak mahu Ain melihat kejadian ngeri itu.
“Innalilah wainnailai hirojiun...” Ucap mereka serentak setelah melihat kejadian tragis itu.

Tukang kebun yang turut berada di situ kelihatan membuat beberapa panggilan dan sejurus tidak lama dari itu pihak polis dan juga ambulans sampai di tempat kejadian. Natasya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang parah dibahagian otak dan selepas pihak polis menggali di sekeliling kawasan pokok besar di belakang asrama itu, mereka menemui mayat Suzi yang telah mula mereput dan busuk. Suzi dipercayai telah mati akibat kehilangan darah yang banyak setelah ditikam berkali-kali oleh objek yang tajam dan jasadnya telah diserahkan kepada pihak keluarga Suzi untuk disemadikan.

Tukang kebun yang sebelum ini menjadi misteri kepada Ain rupa-rupanya adalah seorang anggota polis yang ditugaskan untuk membuat intipan dan risikan untuk menyelesaikan kes ini. Sarjan Iqbal telah mendapat kebenaran daripada pihak kolej dan beliau telah lama memerhatikan gerak geri Natasya yang mencurigakan sebaik sahaja berberapa minggu Suzi dilaporkan hilang. Mereka percaya Suzi mati dibunuh cuma mereka memerlukan bukti yang kukuh untuk menangkap dalang dalam kes pembunuhan itu. Ain kini mampu menarik nafas lega kerana semua misteri yang menghantuinya kini telah selesai. Ain juga telah meminta kebenaran untuk berpindah ke bilik lain kerana dia cukup trauma setelah dihantui oleh berbagai-bagai dugaan dan kini bilik 1511 tinggalkan kosong tanpa berpenghuni.

Firdaus juga turut akur dengan apa yang telah terjadi kepada kekasihnya dan dia tidak mahu memilih untuk berpasangan dengan sesiapa dan dia hanya mahu fokus pada pelajarannya. Kini Ain dan Firdaus bersama-sama hidup tanpa sebarang gangguan dan mereka lebih selesa untuk meneruskan perhubungan hanya sebagai seorang kawan dan moga-moga misteri bilik 1511 akan terkubur dengan selesainya dendam kes pembunuhan ini.

TAMAT...

No comments:

Post a Comment

Followers