Salah satu kritikan yang saya terima daripada beberapa penulis fiksyen yang skeptikal tentang kelebihan-kelebihan teori dan teknik surah Yusuf dan aplikasinya buat menghasilkan karya sastera Islami adalah: Mengapa tidak dikaji seluruh ayat-ayat al-Quran? Mengapa setakat mengkaji surah Yusuf sahaja?
Beginilah respons saya: Fokus kajian saya adalah surah Yusuf. Bekerja dengan mempunyai fokus yang spesifik adalah amat penting kepada produktiviti. Masih banyak lagi unsur-unsur sastera pada surah Yusuf yang belum dapat saya kaji disebabkan keterbatasan pengetahuan saya dalam ilmu-ilmu al-Quran.
Bahagian-bahagian yang sudah saya fikirkan, renungkan, analisiskan, dan tuliskan hasil kajian itu pun mengambil masa lebih 20 tahun baru saya berani mengetengahkannya.
Jadi, saya tidak berupaya hendak mengkaji seluruh al-Quran. Saya berpegang kepada prinsip seperti yang dikatakan oleh Imam Shafie: "Kalau tidak dapat buat semua, jangan tidak dibuat semua."
Kepada mereka yang mengkritik saya, lebihlah efisien apabila antara kita berbahagi-bahagi kerja. Masing-masing memberi sumbangan masing-masing buat membangunkan dan memajukan penghasilan sastera Islami, baik dari sudut penciptaan teori-teorinya, analisis teknik-tekniknya, kritikannya, apatah lagi penghasilan karya kreatifnya.
Bagi pihak diri saya sendiri, biarlah saya kaji surah Yusuf, pihak-pihak lain pula kajilah surah-surah lain.
No comments:
Post a Comment